Nama aku Mek (bukan nama sebenar) , umur 23 tahun , dan asal dari negeri pantai timur . Aku bukan berasal dari keluarga senang pun . Adik beradik aku lebih dari 10 orang , Alhamdulillah . Dalam kalangan adik beradik aku sorang je yang tinggal jauh dari keluarga . Adik beradik yang lain duduk kat kampung .
Sebelum ni aku pernah sambung belajar tapi hanya separuh jalan sebab aku dapat tawaran kerja . Bab belajar ni pulak , hanya aku sorang je yang pernah sambung belajar setakat ni . Aku harap lepas ni adik-adik aku yang lain pulak akan sambung belajar , in shaa Allah . Aku korbankan cita-cita dan minat belajar sebab mak ayah aku nak aku terima tawaran kerja tu . Tapi sekarang baru aku tahu hikmah disebalik keputusan tu . Aku sempat balas jasa kedua ibu bapa aku . Oh ye , sekarang aku kerja di negeri utara .
Macam yang aku cerita kat atas tu , aku sorang je yang pernah sambung belajar dan kerja luar dari negeri kelahiran aku . Maknanya hanya aku sorang je yang tinggal jauh dari keluarga baik zaman belajar atau pun zaman kerja ni .
Jadi tiap kali aku balik kampung keluarga aku pasti akan tanya makanan apa yang aku teringin nak makan . Kakak-kakak dan mak aku suka masak untuk aku sebab mereka kata puas hati masak untuk aku sebab aku akan makan banyak . Kiranya berbaloi la mereka penat memasak . Orang tak tahu apa makanan kegemaran aku sebab aku tak pernah bagitau .
Tapi ada sorang insan ni beliau tahu apa makanan kesukaan aku tiap kali balik kampung . AYAH . Ye ayah . Beliau je yang tahu . Soalan yang wajib aku dengar setiap kali balik kampung , ” Mek nak makan laksa tak ? Kalau nak makan ayah nak pergi beli ni ” . Soalan ni aku akan dengar tiap kali sarapan pagi masa hari pertama aku balik kampung .
Tak perlu aku bagi jawapan . Cukup sekadar senyum malu-malu . Tengahari tu pasti akan ada menu laksa kat rumah aku . Laksa tu ayah aku akan beli dan kuahnya mak aku yang akan masak . Laksa kuah putih nama menunya . Menu ni terkenal di negeri pantai timur . Korang boleh google kalau nak tahu macam mana laksa kuah putih tu . Huhu .
Tiap kali makan laksa , aku akan makan bertambah-tambah . Walau pun tubuh aku ni kecil je tapi aku kuat makan . Dan tiap kali aku makan dengan berselera aku perasan ada sepasang mata yang merenung aku makan bersama dengan senyuman puas hati . Renungan dan senyuman itu milik ayah aku . Demi Allah aku rindu dengan renungan dan senyuman itu . Sebab apa aku rindu ?
Masih segar dalam ingatan aku dan rasanya seperti baru semalam peristiwa ini berlaku . Pertengahan bulan April 2016 semasa aku sedang bekerja aku telah terima panggilan telefon daripada adik aku dari kampung .
Panggilan telefon yang tak pernah akan aku lupakan . Aku nak bagitau korang ni yang aku sayang ayah aku . Sayang sangat-sangat . Tapi Allah lebih sayangkan ayah aku . Adik aku telefon sebab nak sampaikan perkhabaran duka . Ayah aku telah dijemput Ilahi dalam kemalangan jalan raya . Hanya Allah yang tahu perasaan aku waktu itu .
Dipendekkan cerita yang terlebih panjang ni (maaf ye) , seperti tahlil arwah yang lain pasti ada menu yang disajikan untuk orang surau yang datang tahlil . Pada malam pertama tahlil arwah ayah aku menunya adalah laksa kuah putih . Korang boleh bayang tak perasaan aku masa tu ? Sumpah aku sedih tengok menu tu .
Lepas orang surau balik , saudara aku panggil untuk makan ramai-ramai . Sebab aku nak jaga hati, aku pun paksa diri untuk makan bersama-sama mereka . Aku makan sikit je malam tu . Aku tipu saudara aku . Aku cakap aku kurang gemar laksa padahal tu makanan kegemaran aku . Sebab kalau aku teruskan makan laksa tu kemungkinan laksa tu akan berkuahkan air mata .
Akhir tahun lepas aku balik kampung . Masa aku tengah bersembang dengan mak aku , aku ada cakap , ” Mek rindu nak dengar soalan laksa dari ayah ” . Lepas tu mak aku bagitau lepas malam tahlil pertama arwah ayah aku tu memang tak pernah ada dah menu laksa kat rumah aku .
Padahal laksa tu adalah menu wajib ada kat rumah aku dalam setiap bulan . Tapi disebabkan aku dah buka cerita laksa tu , tengahari tu jugak mak aku buatkan laksa kuah putih . Tapi aku makan tak bertambah , sekali je . Tu pun aku makan sikit je sebab nak hargai penat lelah mak aku masak .
Walau pun mak aku yang masak kuah laksa tu tapi rasanya dah tak sama sebab pembeli laksa tu bukan ayah aku . Walau pun laksa tu laksa dari pembuat laksa yang sama tapi nikmatnya kurang sebab pembelinya bukan ayah aku . Dan walau pun makanan ni cukup ringkas tapi bagi aku makanan ni dah cukup mewah . Mewah dengan kenangan .
Mungkin korang ingat aku sangat rapat dengan arwah ayah aku . Tapi kenyataannya aku kurang rapat dengan arwah ayah aku dan lebih rapat dengan mak aku . Tapi Mek nak ayah tahu walau pun ayah dah tiada di dunia ini tapi ayah sentiasa ada dalam hati dan doa Mek . Moga kasih kita sampai syurga . In shaa Allah . Al-Fatihah buat ayah .
loading...
Laksa Kuah Putih Buat Aku Teringat Arwah Ayah
4/
5
Oleh
Hamba Allah