Monday, March 13, 2017

“Kami Hantar Kamu Belajar Ke Amerika, Kamu Belajar Mengenai Kondom. Anak bertuah!”


Walaupun aku sudah hidup selama 247 bulan, aku naif mengenai dunia. Banyak yang aku tidak tahu. Orang bercerita mengenai pengalaman, aku hanya mampu tadah telinga. Kagum mendengar pengalaman luas mereka. 

Malu membandingkan sempitnya dunia aku. Cerita mereka membuatkan aku terasa seperti makhluk asing. Alien yang buat-buat faham, tetapi sebenarnya blur.

Ditakdirkan, budak naif seperti aku dapat menyambung pelajaran ke negara kelahiran Abraham Lincoln. 20 tahun aku hidup di Malaysia, tiada salji. Hah! Kau bayangkan betapa jakun apabila mulut berasap sebaik jejak kaki di lapangan terbang Bloomington, Illinois. 

Jika di Malaysia, baru naik Genting Highland, suhu hanya 18C sudah gelak bangga dapat hembus-hembus ‘keluar asap’. Di sini, asap yang keluar di mulut sudah tidak penting apabila dingin musim sejuk menggigit tulang. 

Tanah putih saujana mata memandang. Aku baru tahu di Amerika, pemandu duduk di sebelah kiri. Aku tersengih sahaja apabila Rebecca gamit aku. “You wanna drive?” Dia perli aku.

Ada banyak kisah naif sepanjang aku di Amerika. Ada satu cerita benar aku mahu kongsikan. Kisah kondom. Sumpah, ini bukan cerita lucah. Tiada adegan peluk cium atau orang Indonesia sebut peci-peci. Jika ada, aku redha di’unfriend’ di facebook.

Begini ceritanya.

Di Amerika, mereka menerima perhubungan seks sebelum kahwin. Tetapi, mereka menegah seks rambang. Kata mereka, ‘safe sex’ itu tanda menghormati wanita. Konsep itu aku tidak faham dan tidak boleh terima. Jika tujuan bukan untuk berkahwin, kenapa nak buat? Bukankah itu juga rambang dan merampas nilai suci kehormatan?

Bagi menyemai budaya seks selamat, mereka edarkan kondom.Terutama semasa hari Memperingati Kekasih. Serius terperanjat aku keluar daripada kedai buku, apabila tiba-tiba seseorang menghulur sekeping kondom berwarna merah. Gila apakah mereka memberi kondom kepada muslimah anggun bertudung litup bercermin mata bulat seperti aku? Aku pulangkan. Geli.

Malam itu, kami berempat teman serumah lepak bermain solitaire. Aku tidak tahu apa perancangan Tuhan meletakkan aku di universiti yang tiada orang Malaysia. Jennifer dan Khaty, memang asal Amerika. Setiap bulan mereka ke tanning salon.

Merokok berkepul-kepul. Setiap Jumaat seawal pukul 6.00 petang, prelud parti ‘Saturday Nite’ sudah bermula. Amina pula gadis Pakistan. Mungkin kerana seumur hidup di Amerika, gayanya juga sudah seperti gadis Amerika.

Aku dengan naif bertanya, “Why do condom comes in various colour?”

Mereka serentak gelak. Andai kulit aku cerah, pasti sudah jelas rona merah seperti udang dibakar. Aku tak rasa soalan itu salah. Jennifer masih gelak apabila memberitahu kondom juga hadir dengan pelbagai perisa. Terbeliak sehingga melorot cermin mata bulat aku.

“You wanna see?”

Perlahan sahaja aku angguk. Muslimah anggun bertudung litup bercermin mata bulat seperti aku harus tunjuk ‘cool’. Jennifer berlari masuk ke bilik dan keluar semula di depan aku sepantas kilat. 

Semua teruja mahu mengajar ilmu baharu kepada budak comel dari Malaysia. Jennifer membuka genggaman tangan dan menunjukkan dua keping kondom. Warna lutsinar dan kuning. Menggeletar tangan memegang plastik yang mengandungi alat keselamatan yang dikatakan 99% efektif menghalang kehamilan dan virus berbahaya.

Jennifer koyak plastik dan keluarkan getah plastik berwana lut sinar sebesar syiling 50 sen. Dia menghembus di tengah-tengah plastik dan ia memanjang menjadi sejengkal. Jika Mak dan Abah tahu apa yang aku sedang buat sekarang ini, pasti dileter. “Kami hantar kamu belajar jauh-jauh ke Amerika, kamu belajar mengenai kondom. Anak bertuah!” Pang.

Itu adegan dramatik jika aku tulis cerpen. Mak dan Abah tidak pernah larang aku nak belajar. Asalkan bukan ilmu pengedaran ganja, pemerdagangan manusia dan judi. Aku sayang Mak Abah yang sentiasa mendoakan keselamatan dan mengingatkan aku untuk solat. Kata mereka, ingat Tuhan dimana sahaja kamu berada dan Dia akan menjaga kamu.

Kembali kepada benda lut sinar di tangan Jennifer. Seolah-olah seperti dalam program memasak yang mempunyai dua orang tukang masak, Kathy pula mengambil tugas menerangkan. Kondom bertukar tangan. Si gadis berambut kerinting bewarna ‘strawberry blonde’ menyimpul benda tersebut yang kini kelihatan seperti belon panjang.

“This will be Mimi’s Mistletoe.” Kathy bangun, berdiri atas sofa dan menjongket salah satu asbestos siling. Mereka gelak ramai-ramai. Amina sehingga berguling-guling menekan perut. Aku tersengih sahaja memandang benda lut sinar yang kini berbuai-buai tergantung di siling. Apa-apalah. Sekurang-kurangnya aku tidak lagi naif mengenai benda itu. Jika orang bercerita, aku tidak blur.

Sesungguhnya kenaifan itu seumpama melihat horizon laut dan mengandaikan bumi ini berpenjuru sudut 90 darjah. Lebih malang apabila si naif berlagak bijak. Secara rendah hati, aku akui si naif berlagak bijak itu adalah aku.

Minggu seterusnya, Noah ajak menonton wayang. Entah filem apa, yang aku tahu ada Jean Claude Van Damme. Noah dari Pakistan. Kami berkenalan tiga bulan selepas aku tiba di Illinois. Mak pernah nampak gambar Noah terus berkenan jadi menantu. 

Konsep wanita tidak boleh berkawan baik dengan lelaki, aku tidak faham. Adakah setiap persahabatan di antara dua jantina perlu diakhir dengan perkahwinan? Aku suka Noah dan kami selesa berkawan. Noktah.

Habis menonton, aku ajak Noah dan Outi, rakan perempuan dari Finland singgah minum di bilik. Rezeki aku dapat bilik Quad. Bilik besar yang mengandungi dua lagi bilik di dalamnya. Ruang hadapan dijadikan ruang tamu.

 Membuka peti sejuk comel sebesar televisyen, aku lega. Nasib baik masih ada dua tin soda. Buat malu sahaja jika ajak minum tetapi tiada minuman. Noah mengambil tempat di sofa.

Kami bersembang mengenai betapa tidak logik tendangan Jean Claude Van Damme tadi. Mana mungkin melompat sambil kaki melibas pada sudut 180 darjah. Noah meneguk kemudian terhenti. Lama ditenung siling. Outi yang sedang menerangkan aspek fizik di sebalik tendangan, turut berhenti bercakap. Dia ikut memandang siling. Teleng kepalanya.

Perlahan sahaja Noah bertanya, “Mimi… is that what I think it is?”

Aku terkikih-kikih gelak. “My roomate said that is Mimi’s Mistletoe.”

Terus-terang, aku ingatkan mistletoe ialah nama yang diberikan pada sebarang benda yang tergantung daripada tempat tinggi. Ini bukan tahap naif lagi. Ini sudah jadi seperti adegan Pak Pandir memandikan anak dengan air panas dan rasa gembira kerana anaknya berhenti menangis. Aku hanya tahu makna sebenar mistletoe dua bulan kemudian.

Hari itu, Ethelyn, ibu angkat daripada program Friendship Family membawa aku ke sebuah rumah agam. Sekilas pandang, kelihatan seperti rumah daripada filem Gone With The Wind. Bagus juga ada ibu angkat yang rajin memperkenalkan aku dengan sejarah dan budaya Amerika. 

Tidak semua sudut sisi Barat itu kuning. Estetika di dalam rumah kekal sepertimana asal. Aku sedang menyarung jaket apabila ternampak beberapa daun dengan buah merah tergantung di ambang pintu. Aku menuding lalu bertanya. Jawapan pegawai tersebut membuat aku terkesima. Mistletoe.

“What is mistletoe?”

Pada zaman dahulu, muda-mudi di Amerika mempunyai hubungan yang terbatas. Acara tarian merupakan majlis formal yang ditunggu-tunggu. Hanya di situ mereka dibenarkan menari bersentuhan sebelah tangan. 

Chaperon atau pengawal pengiring sentiasa ada mengawasi. Satu kelonggaran ialah kewujudan mistletoe. Ia sebagai simbol mengizinkan pasangan yang berdiri di bawahnya untuk bersentuh bibir.

Jika begitu, Mimi’s Mistletoe bermakna…. Oh, Tidak!

Ketika itu, lutut aku seperti longgar dan kepala pusing. Patutlah si Amina gelak guling-guling. Dan, Noah? Ya Allah, apakah yang bermain difikiran Noah apabila aku gelak-gelak menyebut Mimi’s Mistletoe? Adakah imej aku akan kekal sebagai muslimah anggun bertudung litup bercermin mata bulat? Aduhaiii….

Aku tidak boleh marahkan Kathy. Mana dia nak tahu, aku tak tahu apa itu mistletoe. Aku yang naif. Sampai di bilik aku terus telefon Noah. Aku perlu jelaskan kekeliruan. Dia mengerti. Katanya, mana mungkin amalan sebenar mistletoe aku turuti.

“You are a sweet muslim girl with big glasses.”

Tersipu aku mendengar. Selepas daripada hari itu, aku berjanji pada diri untuk selidik setiap info. Pengalaman mengajar. Setiap kali aku lihat kondom berwarna kuning yang terselit di celah kotak cincin, kisah Mimi’s Mistletoe timbul. Ya, Jennifer hadiahkan benda itu sebagai hadiah keberangkatan pulang ke Malaysia.
loading...

Artikel Terkait

“Kami Hantar Kamu Belajar Ke Amerika, Kamu Belajar Mengenai Kondom. Anak bertuah!”
4/ 5
Oleh

Berlangganan

Suka dengan artikel di atas? Silakan berlangganan gratis via email