Thursday, July 19, 2018

'Kenapa Tuhan tak ambil nyawa aku? Kenapa nyawa anak aku?' - Ibu yang baru kematian anak, emosinya lazimnya tak stabil


Kehilangan dan kematian orang yang disayangi merupakan satu perkara yang paling ditakuti oleh setiap insan. Ketika itu kita memerlukan setiap cebisan semangat dari orang sekeliling. Tetapi, bukan mudah untuk kita meraih simpati dan semangat mereka, kadangkala diri kita dipersalahkan di atas kehilangan dan kematian itu. Situasi seperti ini yang menyebabkan ada sesetengah individu mudah tertekan serta kemurungan.

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsikan luahan perasaan seorang wanita yang telah kehilangan anaknya. Bayi di dalam kandungannya didapati secara tiba-tiba tidak bergerak dan doktor telah mengesahkan anaknya telah meninggal dunia. Wanita ini sedih kerana dia melihat orang luar seolah-olah hanya mampu mengkritik tanpa cuba memahami perasaannya.

Dr. Kamarul menyuarakan pandangan agar masyarakat mengubah pendirian menjadi pendengar yang baik dan membantu meringankan bebanan keluarga si mati.


“DOKTOR, tolong saya. Saya tak nak jumpa sesiapa. Bila dia orang buka mulut, mesti hati saya makin sakit” kata wanita di hadapan saya.

Pesakit ini, baru kematian anak sulungnya ketika kehamilannya mencecah 9 bulan. Paginya, bayi dalam rahimnya aktif, tiba-tiba petangnya tak bergerak. Bila ke hospital, doktor sahkan anaknya telah meninggal dalam rahim.

Dia mengadu pada saya:

“Kenapa bila saya nak cerita pasal perasaan kesedihan saya, mesti ada orang suruh diam dan jangan cakap pasal tu? Salah ke saya bersedih?”

“Saya tanggung perit mengandungkan dia 9 bulan, saya tanggung sakit lahirkan dia. Kenapa orang suruh saya tak payah fikir pasal kematian dia seolah nyawa dia tak berharga.”

“Dia orang kata, anak saya di tempat lebih baik. Maksudnya kalau dia bersama saya tak baik? Begitu?”

“Tolonglah berhenti cakap apa-apa ayat seolah-olah musibah ni rancangan Tuhan dan ia terbaik buat saya. Saya tak mahu timbul buruk sangka dalam hati saya pada Tuhan.”

"Paling sakit hati sekali bila orang kata saya muda lagi, nanti boleh cuba (hamil) lagi."

Bila ada kes kematian anak, kadang-kadang niat kita baik, nak tenteramkan hati si ibu, tapi tanpa kita sedar, kita sebenarnya makin merobek hatinya. Ibu yang baru kematian anak, emosinya lazimnya tak stabil. Mereka mudah fikir yang negatif. Bukan mudah nak menerima kehilangan seperti itu. Mereka perlukan masa untuk reda.

"Sabar. Sabar. Sabar. Sabar. Dia orang ingat saya tengah buat apa? Saya tengah sabarlah ni. Kalau tak sabar, saya dah bunuh diri."


Oleh itu, jika kita pergi melawat mereka, beri mereka ruang untuk bersedih. Tak perlu cakap kata apa-apa jika kita pasti ia akan melukakan mereka atau tak. Cukup sekadar lawat, ucap takziah, dan jadilah pendengar yang baik. Dengar rintihan dan keluhan mereka. Tak usah halang ibu itu bersedih.

Meluahkan rasa sedih, menangis, akan kurangkan bebanan emosi yang mereka tanggung.

“Kenapa Tuhan tak ambil nyawa aku? Kenapa nyawa anak aku?”

Kalau si ibu kata apa-apa yang bukan-bukan, ketahuilah mereka tak bermaksud macam itu pun. Mereka cuma nak luahkan apa yang terbuku di hati. Jika anda perempuan, respon yang terbaik pada keluhan seperti itu adalah, memberi pelukan. Jika anda lelaki, beritahu anda doa agar dia dikurniakan kekuatan.


Satu lagi perkara yang baik untuk menunjukkan yang kita ambil berat dan akan menyokong mereka adalah dengan bantu mereka uruskan kehidupan semasa mereka berkabung.

Ketika bersedih, biasanya mereka tak fikir makan minum, jadi kita bantu. Bawa makanan dan minuman. Tak usah pula kita sibuk suruh mereka berpantang begitu-begini jika ia kematian melibatkan keguguran kehamilan.

Boleh juga uruskan kain baju mereka. Hantar dobi. Uruskan rumah. Sapu lantai. Buang sampah. Paling tidak, bantu mereka sambut tetamu. 

Boleh juga hulurkan sumbangan wang. Menguruskan jenazah perlukan banyak perbelanjaan. Beri diam-diam sahaja biar mereka tak rasa bersalah.

Pendek kata, kurangkan bercakap kerana sebaik mana niat kita, tetap ada kemungkinan kita akan menyakitkan hati mereka. Jadi pendengar, jadi pembantu. 

Jika ada mana-mana ibu bapa yang kehilangan anak, dan ada perkara yang terbuku dalam dada, boleh luahkan di ruangan komen ini. Biar kami tahu apa yang kalian lalui. Yang lain, mohon dengar dan beri respon yang berpatutan sahaja. Mana-mana komen yang tak elok, saya akan padam.

Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
loading...

Artikel Terkait

'Kenapa Tuhan tak ambil nyawa aku? Kenapa nyawa anak aku?' - Ibu yang baru kematian anak, emosinya lazimnya tak stabil
4/ 5
Oleh

Berlangganan

Suka dengan artikel di atas? Silakan berlangganan gratis via email