Friday, July 20, 2018

'Dah 3 kali lewat, bulan depan saya tukarkan punch kad awak warna lain!' - Perkongsian ini patut dibaca oleh semua GB/Pengetua


Sebagai pekerja, adalah wajib mematuhi peraturan datang tepat pada waktu kerja yang telah ditetapkan. Jika terlalu kerap lewat, maka kad kuning akan bertukar kepada kad merah yang menunjukkan seseorang pekerja itu tidak berdisiplin dalam mematuhi waktu bekerja. 

Tetapi, bukan semuanya begitu kerana ada segelintir yang benar-benar mempunyai masalah pada hari kejadian. Untung jika majikan atau penyelia faham dan menerima alasan yang diberi, malang pula nasib jika alasan tidak diendahkan dan dimarahi di hadapan kakitangan lain. 

Dalam hal ini, majikan/penyelia juga perlu menyiasat dan bertanya masalah atau punca kakitangannya lewat. Bukan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum tanpa budi bicara. Benar adakalanya kakitangan lewat, tetapi lihatlah pada kad perakam waktunya, adakah dia balik tepat pada waktunya atau lebih sebagai ganti waktu kelewatan? 

Bak kata Cikgu Mohd Fadli Salleh, seorang pemimpin yang baik tidak akan mencari kesalahan anak buahnya. Sebaliknya cuba menyelami dan menyantuni mereka agar wujudnya suasana yang selesa untuk bekerja. Semoga perkongsian dari Cikgu Mohd Fadli ini memberi manfaat kepada semua. 

KISAH PUNCH KAD MERAH

"Awak dah tiga kali lewat bulan ini. Bulan depan saya tukarkan punch kad awak warna lain. Menandakan kehadiran awak dah tiga kali lewat!"

Keras seorang guru besar memarahi guru ini. Guru ini hanya menunduk dan mengangguk sahaja dengan redha. Ya, dia terlambat 3 kali dan itu termaktub dalam peraturan. Dia akur tanpa bantahan.

Dalam mesyuarat, hal ini dibangkit dan mana-mana guru yang bertukar warna kad disindir-sindir dan diperli. Tidak komitmen dan tidak berdisiplin kata GB tegas ini.

Masa berlalu. Teraju bertukar tangan. Diganti oleh GB lain yang tegas juga dalam bicara dan kata-kata. Namun bila berdepan, bila hadap berdua GB baru ini sangat santun dan berlemah lembut. Nasihat yang baik diberi, bukan ugutan atau sindiran kasar.

Beberapa bulan kemudian, sekali lagi punch kad guru ini berwarna merah. Empat kali dalam sebulan. Dia dah redha jika kad bertukar warna bulan depan. Bulan seterusnya, kad dia masih warna yang sama. Seolahnya dia tidak lewat melebihi tiga kali. Maka diberanikan diri bertanya pada GB baru.

"Puan. Bulan lepas saya lewat lagi empat kali. Kenapa punch kad saya tidak 'diturunkan darjat' menandakan saya pernah lewat?"

GB itu tersenyum. Diarahkan kerani mengambil punch kad cikgu ini. Lantas ditunjuk dan berkata,

"Cikgu. Cikgu lihat punch kad cikgu. Benarlah ada merah empat kali menandakan lewat dari sepatutnya. Lihat merah yang pertama, masanya 7:21 minit. Hanya lewat satu minit sahaja. Lagi pun masa itu kelas belum bermula. Kelas kan bermula jam 7:30 pagi. Begitu juga tiga lagi kelewatan cikgu. Semuanya tidak lebih dari 7:30. Maka saya maafkan.

"Lagi pun pagi-pagi jalan depan sekolah memang jem. Cikgu pula turunkan anak dulu di pra sekolah. Saya percaya sebenarnya cikgu dah berada dalam kawasan sekolah sebelum jam 7:15 pagi lagi kan?" sambil tersenyum GB itu memberi penjelasan. 

Cikgu ini mengangguk-angguk tanda faham. Terharu dia dapat pentadbir yang memahami, bukan yang jenis mencari salah.

"Puan. Terima kasih banyak atas pertimbangan puan. Benar apa yang puan cakap. Saya berada dalam kawasan sekolah kadangkala lebih awal, namun untuk punch kad itu memakan masa atas pelbagai faktor."

GB itu tersenyum lantas menyambung, "Adalah kejam bagi saya menghukum guru-guru di bawah saya hanya sekadar warna merah 3-4 kali ini.

"Cuba awak perhati waktu awak pulang kat punch kad ini. Awak layak pulang seawal jam 1:00 petang. Namun hampir setiap hari awak berkorban masa demi sekolah dan anak-anak didik sampai jam 2-3 petang.

"Lewat satu minit diganti dengan tambahan 2-3 jam setiap hari adalah sesuatu yang mengagumkan saya. Cikgu tidak pernah membangkitkan pengorbanan cikgu berada lebih masa di sekolah.

"Apa perlu saya bangkitkan kelewatan satu minit atas faktor teknikal? Saya belum sezalim itu cikgu. Itu bukan cara saya mentadbir sekolah. Terus beri yang terbaik cikgu ya!"

Guru ini merasa sangat dihargai. Dia merasa sangat senang dengan pentadbir yang bertolak ansur dan pandai mengenang budi. Setiap langkah ke sekolah di hari mendatang dia hayun dengan semangat yang lebih membara. Setiap program sekolah dia cuba jayakan sebaik mungkin.

Benarlah, seorang pemimpin yang baik tidak hanya pandai mencari salah. Pemimpin yang baik tidak hanya tahu bertegas dan marah-marah. Pemimpin yang baik tidak membuatkan anak buah mereka bekerja keras dengan ugutan dan paksaan. Sebaliknya pemimpin yang hebat mampu memenangi hati anak-anak buahnya sehingga mereka seronok bekerja bersama.

Sehingga anak-anak buahnya melakukan segalanya bukan kerana paksaan atau ugutan. Tapi dengan kerelaan dan rasa hormat yang menebal pada pemimpin yang pandai menjaga hati ini.

Kisah ini kisah benar yang aku dengar sendiri dari seorang sahabat guru. Mana yang baik sama-sama kita ikuti. Begitulah.

loading...

Artikel Terkait

'Dah 3 kali lewat, bulan depan saya tukarkan punch kad awak warna lain!' - Perkongsian ini patut dibaca oleh semua GB/Pengetua
4/ 5
Oleh

Berlangganan

Suka dengan artikel di atas? Silakan berlangganan gratis via email