Wednesday, March 15, 2017

"Dalam Diam, Aku Dahulu Yang Telah Mati Dalam Ingatan Mak"


Izinkan aku berkongsi kisah seorang wanita yang aku amat rindui, seorang insan yang aku panggil ‘Mak’.

Sebagai cucu sulung, aku amat rapat dengan nenek sehinggakan dari kecil aku memanggil nenek dengan panggilan, ‘Mak’. Walaupun cucu-cucu lain pun terikut memanggil nenek dengan panggilan ‘Mak’, kira akulah yang paling rapat dengan mak sebab Mak lah yang membesarkan aku di kampung sehingga aku berusia 5 tahun.

Begitu banyak memori indah bersama Mak. Masih teringat lagi kenangan berpuasa di kampung bersama Mak dan setiap petang kami akan pergi ke bazar untuk membeli roti john goreng. Pada puasa ke-15 hanya Mak je yang tolong belikan sebab aku dah jadi gemuk sangat dan tak larat nak keluar.

Bila aku risau gemuk, Maklah yang nasihatkan, “Baguslah gemuk, baru takde perempuan nak kacau Rafiq, dan Rafiq boleh belajar bersungguh-sungguh”. Masin betul mulut Mak, sebab dah 24 tahun aku tak laku.

Dari kecik lagi, mak push aku untuk jadi doktor. Semasa aku dapat masuk sekolah sains, maklah yang paling happy, apabila aku dapat top student biologi dialah yang lari peluk aku bila aku balik kampung. Air penerang hati daripada Mak sentiasa ada dalam almari baju dan jujur aku kata, bila aku doa untuk exam, aku sebut sekali yang sebab utama aku nak berjaya adalah untuk bahagiakan mak. Kalau Allah tak redha dengan aku pun, at least berikanlah aku kejayaan agar Mak bahagia.

Bila aku dapat fly untuk buat ijazah undang-undang, aku teringat lagi raut air muka Mak yang cuba nampak gembira dan sembunyikan kekecewaan dia kerana aku tak akan menjadi doktor. Maafkan Rafiq, Mak. Amat susah nak dapat biasiswa zaman ni dan amat rugi kalau tolak. Aku cium pipi Mak di airport dengan hati yang amat berat.

“Doakan Rafiq, ya, mak”

Mak mengangguk sayu.

Selepas setahun, dengan keputusan tahun pertama yang cukup makan, aku tekad untuk pulang sebab dah homesick sangat. Masa ni mak dah tua dan duduk sekali di KL. Bila aku jumpa mak, pandangannya dah lain. Dengan tiba-tiba Mak bertanya:

“Eh Hamid, sorang je ke? Fara tak ikut?”

Aku betul-betul terkejut. Hamid adalah nama pakcik bongsu aku. Fara isterinya. Aku pandang ibu bapa aku dan mereka hanya mampu menggeleng. Mak Alzheimers atau kata lainnya, nyanyuk. Penyakitnya muncul sejurus aku berangkat dan hanya orang yang ada disekelingnya sepanjang tahun yang kekal diingatan mak. Bermakna dengan serta merta aku telah hilang dari ingatan Mak. Hanya aku. Antara benda yang paling dirisaukan pelajar di rantauan adalah kematian ahli keluarga. Rupanya, dalam diam, aku dahulu yang telah mati dalam ingatan Mak.

“Mak! Ni Rafiq, mak tak ingat ke?”

Aku memeluk Mak erat. Hati ku sebak. Terasa sakit mengenangkan namaku tidak akan ada lagi dalam doa harian Mak.

“Rafiq? Rafiq bukan dekat asrama ke? Cuti semester ke? Buat betul-betul tau. Nanti dah besar boleh jadi doktor. ”

“Mak!!!” Aku meraung sekuat hati.

Akhirnya ayah pisahkan aku dan suruh aku berehat. “Mungkin mak tak ingat aku sebab muka aku penat sebab jet lag”. Aku ulang ayat ini sehingga aku tertidur keletihan malam tu.

Keesokan harinya aku sedang berehat di bilik dan terdengar suara halus di pintu.

“Oh Hamid, tidur sini ke. Hamid dah semayang Zohor?”

Berkaca mataku dan aku membetulkan.

“Bukan Hamid mak, ni Rafiq.”

“Oh. Lain rupa Rafiq” balas Mak sambil tersenyum.

Hari silih berganti, hati ku remuk berkali-kali. Perasaan ku yang sedih, kini berubah menjadi benci dan rimas. Manakan tidak, Mak selalu bertanya benda yang sama berulang kali .

“Hamid dah makan?”

“Dah mak”

5 minit kemudian, “Hamid dah makan?” ulang Mak

Jawapan dari mulutku “dah,dah,dah”. Dulu akulah yang paling rajin berbual dengan mak. Kini jawapanku hanya sepatah.

Disebabkan Mak seorang yang kuat ibadat, maka soalan solat lah yang paling kerap ditanya. Pertanyaan mak makin lama aku dengar sebagai suruhan atau paksaan. Lama-lama aku lebih mudah berbohong. Solat harian ku kian kecundang. Rafiq mungkin belum solat, tetapi Hamid mungkin sudah. Yang ditanya perihal Hamid, bukan Rafiq, kan?

Hati ku mula dipenuhi seribu persoalan. Mak orang yang alim. Solat nya tidak pernah tinggal. Hafalan dan bacaan alquran-nya masih dia ingat. Buku menandakan berapa kali dia berzikir dalam sehari tersusun rapat di dinding biliknya. Syaitan mula membisik, “bukankah berzikir itu perisai nyanyuk?” Aku mula berani menengking mak setelah diajukan soalan sama berkali-kali.

Aku pulang ke luar negara dengan hati berkecamuk. Aku tahu mak yang sekarang bukanlah mak yang dahulu. Usai graduasi aku, keadaan mak makin teruk. Langsung tidak diingatnya cucunya yang lain. Adalah menjadi satu hiburan bagi cucu dan anaknya untuk meneka apa panggilan baru yang mak akan beri pada mereka. Cikgu Enchom? Pak Meon? Setiap kesilapan mak akan disusuli dekahan ketawa orang ramai. Mak yang tidak memahami apa-apa, hanya tersenyum. Terdetik dalam hatiku, beginikah Allah melindungi aib hambanya yang paling taat?

Satu hari adik kecilku tidak menyahut panggilan Mak semasa dia tengah leka menonton tv.

“Adik dah makan?”

*diam*

“Jawablah, tak baik tak menyahut”

*masih diam*

“Ni cucu mak kan, kenapa tak menyahut. Nanti Allah bisukan baru tahu. ”

Aku tak tahan dan terus menjerit.

“Nisa (nama adik) kenapa tak jawab!? Jawab lah orang tanya! ”

“Ah benci lah” dan Nisa terus berlari ke biliknya.

Terlihat sayu di raut tua mak. 5 minit kemudiannya mak dengan ceria bertanya ku.

“Hamid bila sampai? Dah makan? Mak buatkan teh, mari. ”

“Hamid dah kenyang mak”

Buat pertama kali, aku tak pasti sama ada mak berpura-pura tak terasa dengan Nisa, ataupun dia memang dah tidak ingat insiden yang baru sahaja berlalu 5 minit yang lalu. Begitu teruk keadaan Mak. Alangkah indahnya jika aku tak perlu membetulkan Mak setiap kali akan namaku. Mataku berkaca lagi.

Aku sedar mak yang adik ku kenal bukanlah mak yang aku kenal. Mak yang dahulunya menyuap ku makan mendodoikan aku setiap malam, yang soalannya sentiasa mengajak aku untuk berfikir dan bertanya lagi dan lagi. Tetapi bagi adik, mak adalah insan yang merimaskan yang bertanya soalan sama berulang kali.

Awal Januari yang lalu, kami dikejutkan akan berita yang mak tiba-tiba tidak sedarkan diri. Badannya lemah secara tiba-tiba. Oh ya masa ni mak tidak lagi duduk dengan kami dan duduk di rumah makcik sebab kedua-dua ibu bapa aku bekerja dan mak sering bergaduh dengan pembantu rumah.

Doktor memberitahu mak menghidap kanser tahap 4. Bengkak di pipi mak buat sekian lama bukanlah disebabkan jangkitan kuman ke atas gusi seperti yang doktor klinik sangkakan tetapi adalah tumor sel kanser. Doktor memberitahu kanser itu telah merebak ke suluruh liang pernafasan dan ke paru-paru. Sebarang intervensi akan membunuh mak tetapi jika dibiarkan, mak mungkin akan sakit berbulan-bulan lamanya. Umpama mati lemas, tetapi lebih seksa, setiap nafas lebih sukar dari sebelumnya.

Aku memberitahu ayah yang aku gemarkan intervensi. Gelap sungguh hatiku waktu itu kerana aku sendiri tidak tahu sama ada aku mahukan intervensi untuk menyembuh atau membunuh mak. Malangnya anak-anak mak, iaitu pakcik dan makcik ku tidak bersetuju kerana ia akan menelan kos dan mengurangkan harta pusaka mereka. Gila.

Begitu tidak endahnya kami dengan mak sehinggakan kerisauan sebenar kami sekeluarga adalah perlukah kami membatalkan perlancongan kami ke luar negara sekiranya mak meninggal hujung bulan Januari. Berbalah jugalah, dan aku hairan mengapa kami tidak seperti keluarga lain di iiumc, yang meratap dan sanggup berkorban bagai. Benci sangat ke kami dekat mak?

Namun umpama hajat kami didengari Mak, dalam 3 hari lepas tu, Mak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Doktor menelefon kami, Mak meninggal sesak pernafasan. Di minda aku masa tu terbayang seribu satu kengerian. Pasti nafas terakhir mak penuh seksa, umpama kita cuba menggapai-gapai udara. Seringkali kita lihat di dalam media, wajah mangsa lemas yang herot dan badan mengeras kerana bergelut untuk udara. Nauzubillah.

Semasa sampai di bilik mayat pakcik dan makcik sudah tiba lebih awal dan sedang membaca yasin. Apabila pihak hospital memanggil anak-anak perempuan mak untuk melihat mayat, satu persatu makcik ku keluar dari bilik persediaan jenazah dengan mata merah, seperti tidak tahan melihat jenazah mak.

“Ada tak orang lelaki yang kuat? Nak mintak angkat arwah ke meja mandi.” makcik yang diupah untuk mengkafankan mak memecah kehinangan senja.

Ayah aku push aku sebab akulah cucu sulung. Anak mak lain semua sudah tua. Mungkin, ayah aku pun mempunyai kegusaran yang sama dan takut untuk melihat Mak.

Setiap langkah ke bilik mayat, suara syaitan tak berhenti menghasut.

“Kau tengok tu Rafiq, mak tu, kuat betul menghafal al quran, last last nyanyuk jugak.”

“Kau tengok tu mulut tak pernah lekang berselawat, akhirnya bengkak di pipi. Bernafas pun susah. Akhirnya meninggal sesak nafas dengan seksa. ”

“Mak tu cikgu kan, penat dia ajar budak kecik, berpuluh tahun, akhirnya cucu kecil sendiri yang gelakkan dia. Adil betul tuhan kau ni Rafiq”

Terdiam suara-suara tersebut sejurus aku menatap jenazah mak.

Matanya tertutup. Terukir senyuman lebar dengan mulutnya terbuka sedikit. Walaupun gigi mak rongak di hadapan, tetapi dengan bukaan kecil itu, bersama gusinya yang memutih, nampak seakan lengkap giginya. Bengkak di pipi yang dahulunya sebesar bola kriket tidak kenampakan. Mustahil mustahil. Jenazah mak begitu sempurna untuk seseorang yang sesak nafas!

Mana mungkin orang koma dan tidak berdaya beserta pipi yang berketumbuhan, mampu senyum seluas itu? Biologi mengajar tatkala kita sukar bernafas, seluruh tubuh kita akan berusaha untuk menyedut udara dan pasti akan terlihat kesukarannya itu pada muka dan anggota, tetapi tidak buat mak. Umpama melihat sesuatu yang sangat indah sehingga kita lupa untuk bernafas dan menerimanya dengan berlapang dada. Itulah raut wajah mak. Badan mak terasa amat ringan. Sudah berjam mak meninggalkan kami, tetapi badan mak masih lembut. Tidak rigor mortis.

Entah bagaimana, urusan perkuburan mak menjadi sangat lancar. Apabila dihubungi pihak tanah perkuburan, memang terdapat satu kubur yang baru sahaja dibersihkan. Apabila di bawa ke masjid untuk disolatkan, masjid tersebut baru sahaja selesai tazkirah dari ustaz jemputan dan penuh insan di masjid untuk memenuhi saf solat jenazah mak. Kematian mak pada malam ahad membolehkan ramai sanak saudara datang menziarah jenazah mak malah ada yang datang sejauh 50 km tanpa kesesakan lalu lintas, sesuatu yang mustahil pada hari kerja.

Mak meninggal jam 6 petang. Masuk jam 11, urusan pengurusan jenazah Mak telahpun selesai. Begitu pantas, sedangkan tiada persediaan langsung dibuat sebelum itu, kerana mak baru seminggu di hospital dan doktor menjangkakan mak masih ada berbulan-bulan lagi untuk hidup. Aku melihat dengan mata sendiri bagaimana Allah memudahkan urusan hambanya yang taat untuk bertemuNya. Segala kegusaran aku malam itu terjawab. Suara syaitan di dalam kepala membisu.

Terasa hinanya diri ini melihat hikmah yang dihamparkan. Betullah apa orang kata, kadang-kadang ujian nyanyuk yang diberikan Allah bukanlah untuk menguji si pesakit, tetapi untuk insan yang berada disekelilingnya. Betapa berdosanya aku dengan mak. Mungkin disebabkan mak nyanyuk, mak tidak pernah berkecil hati dengan sikap acuh tak acuhku, berlainan dengan ibu bapa yang diberi kewarasan, tetapi hari-hari berkecil hati dengan layanan anak-anak.

Semasa di awal nyanyuk, Mak tidak ingat akan ibadahnya, sekaligus bersolat fardu berulangkali. Tatkala orang lain yang meningkat tua berpusu-pusu berusaha untuk menjaga rupa di hadapan manusia, kegusaran mak hanyalah pada ibadahnya. Tidak ada masa yang diluangkan untuk perkara lagha.

Ketika orang lain sakit berbulan-bulan, mak sihat sehinggalah satu hari koma dan mendapat sakaratul maut yang baik. Dipermudahkan segala urusannya.

Sehingga kini, wajah mak terbujur kaku masih jelas di fikiranku. Dahulu, apabila mak datang menziarahku di KL dan ingin pulang ke kampung, pasti dia berikan buah tangan untuk memberhentikan tangisanku. Tak sangka, buah tangan terakhirnya menghidupkan semula iman di hatiku yang akan ku pegang sehingga mati. Ya, akhirat dan syurga itu ada, kerana mak sudah melihatnya. Maka nikmat Tuhan-mu yang manakah yang engkau dustakan?
loading...

Artikel Terkait

"Dalam Diam, Aku Dahulu Yang Telah Mati Dalam Ingatan Mak"
4/ 5
Oleh

Berlangganan

Suka dengan artikel di atas? Silakan berlangganan gratis via email