Saturday, February 24, 2018

'Ayah bercakap dengan siapa tu?'


Hairan melihat ayahnya bercakap dalam keadaan marah di tingkap, mendorong rasa ingin tahu. Apabila ditanya, orang tua itu meminta anaknya tidak mengganggunya sebelum kembali 'berleter' di tingkap rumah mereka itu. 

Namun sebenarnya, ayahnya ternampak dan bercakap dengan 'benda' yang tidak diundang. Katanya dihantar oleh tuannya untuk menganiaya abang si penulis berikutan wujudnya dendam si pelaku terhadap abangnya itu. 

SEMALAM aku nampak ayah aku bercakap seorang diri ketika waktu maghrib dengan mukanya menghadap ke luar tingkap. Gaya dia bercakap nampak sangat marah. Aku tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. 

"Cakap dengan siapa tu?" aku rajinkan diri bertanya. 

"Jangan dekat! Jauh sikit!" tak pasal-pasal kena marah dan dia pun sambung berleter dengan benda yang aku tak nampak. 

Lama juga menunggu, lebih kurang 15 minit kemudian, baru dia tutup tingkap. Aku datang mendekatinya dan bertanya apa yang terjadi. Ayah cuma kata, "Benda yang kau tak nak tahu.". Siapa yang tak terasa ingin tahu kalau dapat ayat seperti itu? 

Dengan rasa ingin tahu yang tinggi, aku pujuk ayah. Pujuk punya pujuk, akhirnya ayah beritahu segala-galanya. Ayah kata, ada 'benda' yang nak menganggu keluarga kami. Otak aku dah fikir macam-macam, tak lain tak bukan mesti benda itu dan ya, jangkaan aku betul. 

Ayah cakap pasal benda orang nak hantar pada keluarga kami. Apa bendanya? Sejenis santau, lebih kurang. 

"Kau tak nampak sesiapa di tingkap tadi?" soal ayah. 

Hell no! Memang tak nampak dan aku tak nak nampak. Ayah kata benda itu tak berupa sempurna. Kotor, jijik, busuk, hanyir dan rambutnya panjang sampai ke tanah serta mukanya hangus terbakar. 


Orang tua memang tak takut dan dia siap boleh bercakap dengan 'benda' itu lagi. Antara ayat yang aku dengar semasa ayah marah, "Nak apa datangs sini? Aku tak benarkan kau masuk dalam rumah aku. Balik tempat asal kau!" 

Meremang bulu roma aku pada masa itu. 

Menurut ayah lagi, dia nak hantar benda itu pada abang aku. Nak bagi sakit sebab abang aku ada buat benda tak baik. Jadi tuan dia nak balas dendam. 


Sedang ayah aku bercerita tentang hal ini, tiba-toba ada bayangan hitam sekali lalu di tingkap yang menjadi tempat mereka berbual tadi. Terus tegak bulu roma satu badan. 

Aku cakap dah tak nak tahu, aku nak balik ke rumah kakak aku yang terletak di sebelah rumah. Keluar saja dari rumah tanpa fikir panjang. Sarung selipar dan terus lari. Sampai saja di rumah kakak aku, rasa tak sedap hati. Rasa seperti diperhatikan. 

Malam itu, nafsu makan aku tiada. Temenung, kemudian badan rasa sejuk saja. Selepas isyak, aku tertidur. Entah macam mana boleh tidur sedangkan pada masa itu tak ada rasa mengantuk. 

Aku terjaga jam dua pagi. Bangun-bangun saja kepala mamai. Selepas itu duduk sekejap sebelum pergi ke dapur untuk minum air. Tahu aku dengar bunyi apa? Bunyi macam benda lembik yang berair kena picit dan hasilkan bunyi yang sangat menjengkelkan. 

Ruangs tamu gelap, dapur pun gelap. Terhendap-hendap dengan jantung rasa macam nak pecah. Dua benda saja yang aku fikir, kalau bukan 'benda' itu, mungkin pencuri. 

Aku petik suis lampu, kemudian aku ternampak daging lembu yang dibeli di pasar pagi tadi terapung dan jatuh tiba-tiba. Lantai berkecah dengan gading-daging itu. Punyalah terkejut sampai aku lari terlanggar dinding. Masuk bilik semula dan terus tarik selimut. 

Aku terfikir balik cerita yang diceritakan oleh ayah maghrib tadi. Serius jantung rasa macam nak pecah. Takkan benda itu datang nak mengganggu pula? 

Aku ambil keputusan pergi semula ke dapur dan kemudian kemas semua benda. Alhamdulillah tak kena gangguan pada masa itu. Bila sudah siap semua, aku ambil wudhuk dan masuk bilik nak sambung tidur. 

Belum sempat tidur, aku kena kacau lagi. Ada satu suara orang menangis. Bunyinya halus saja di luar tingkap. Aku penakut tetapi disebabkan ingin tahu apa bendanya itu, aku pun bukalah tingkap. Pandang kiri kanan, tak nampak apa-apa sebab gelap. Cahaya bulan pun tak ada pada malam itu. 

Cuma aku teliti balik bunyi itu datang dari arah bawah cahaya lampu jalan. Aku pandang saja ke situ, memang betul. Menggigil badan aku. Benda itu di tiang lampu, sedang menangis. Rasa tiada udara untuk bernafas. Tercungap-cungap. 

Aku tutup tingkap dan terus berselubung dengan selimut tutup muka. Panas pun panaslah, janji tiada ruang yang besar. Biar muat-muat badan aku saja. 

Agak lama juga aku berada dalam selimut itu sampai rasa nak lemas. Tiba-tiba ada bunyi dari arah pintu bilik. Entah apa tetapi aku diamkan diri saja dan buat tak tahu. 

Lima minit berselang, kena ganggu lagi. Kali ini dia main tarik selimut. Allahu, ank menangis rasanya. Bukan yang manja-manja punya tarik, tetapi selimut itu kena rentap dan terbuka. Takkan aku nak bangun rampas balik? Dah tentu aku membatukan diri dan pejamkan mata. 

Baunya ya Allah, tak tahan. Hanyirnya, busuk bau nanah. Semakin kuat bau sehingga menusuk hidung. Sikit demi sikit aku buka mata, benda itu berdiri di bucu katil sama seperti yang diceritakan oleh ayah, rambutnya panjang sampai ke lantai dan berpakaian lusuh serta buruk. 

Tak mampu nak menjerit, suara seperti dikunci. Mata aku saja terbeliak dengan baca surah dalam hati. Seperti kena strok pun ada masa itu. Dua minit selepas itu dia hilang. Tetapi tempoh masa itu rasa macam nak terkencing bila ternampak 'benda' itu. Nasib baik dia tak terkam. 

Aku bangun dan lari pergi ke bilik kakak, ketuk pintu biliknya. Dia bangun dan tengok aku dah kecoh-kecoh. Selepas aku cerita sikit saja kejadian yang berlaku, dia terus tarik aku tidur di bilik dia. 

Keesokan pagi aku sambung cerita, ayah cuma geleng kepala saja. Tetapi selepas itu memang tiada apa-apa yang berlaku. Keluarga selamat dan semuanya okay. Cuma terkejut dan kejadian itu masih segar dalam ingatan aku. Alhamdulillah iman aku agak kuat, tak ada pengsan. 

Berhati-hatilah semua. Orang nak hantar benda tak elok ini macam-macam cara dia boleh guna. Aku bersyukur keluarga aku selamat. 

Sumber: Ridhuan

'Ais tak salah, kenapa masih ada yang berpegang pada mitos ini?' - Dr Rusyainie


Banyak pantang larang mengenai ais yang disebarkan di media sosial tanpa diketahui apakah benar atau sejauh mana kesahihannya itu? Kebanyakannya disebarkan oleh golongan peniaga produk yang tidak bertanggungjawab dan sengaja menyesatkan para pengguna agar membeli produk mereka. 

Di bawah, Dr Rusyainie Ramli berkongsikan tentang mitos-mitos yang berkaitan dengan ais agar anda lebih faham dan tidak mudah terperdaya dengan dakyah golongan yang tidak bertanggungjawab. Semoga bermanfaat. 

TEH o ais ini memang minuman kegemaran saya. Ais tak salah, yang salah ialah kandungan gula dalam air saya minum ini. Saya belum boleh minum air teh o tanpa gula. Teh ada kafein seperti kopi. Kafein kalau dalam dos sederhana boleh memberi mood yang lebih baik, membuatkan minda lebih cerdas dan meningkatkan metabolisma badan. 

Teh adalah satu-satunya tumbuhan yang ada asid amino L-theanine. Yang dikatakan merangsang rasa tenang dan rileks. Staf saya kalau nampak saya dah muka merah geram semacam nak naik angin, cepat-cepat pergi belikan saya teh o ais nak sejukkan hati saya yang dah nak melenting. 

Ais tidak akan membuatkan rahim saya kembang. Sudah 10 tahun rahim saya tak kembang. Hahaha! Rahim kembang sebab saya mengandung. Tak mengandung? Elok saja rahim saya duduk di tempatnya diam-diam. 

Ais tidak akan membuatkan becak di kemaluan sebab saya minum air sejuk mengikut mulut. Tak tahulah kalau ada orang lain minum air mengikut saluran yang lain. 

Ais juga tidak akan membuatkan abdomen saya buncit sebab air sejuk ini masuk saja di saluran makan, terus akan mengikut suhu badan. Air akan diserap ke dalam darah sistem badan melalui usus. Yang buncit di abdomen itu ialah lapisan lemak yang tersimpan. Nak hilangkan bunci itu perlu menjaga pemakanan dan bersenam.

Ais tidak akan membuatkan saya berasa letih atau penat. Letihlah menjadi bos di office, penat menguruskan keluarga, tidur pun kadang-kadang tak cukup, tetapi itu semua bukan disebabkan ais. 

Ais tidak akan membuatkan haid berketul-ketul. Itu mitos. Haid itu dinding rahim yang luruh. Maka adanya tisu dan darah yang keluar ikut faraj. Dalam darah ada bahan untuk bekukan darah. Sebab itulah darah berketul. Cuba potong jari itu, keluar darah atas lantai. Mesti darah itu berketul punya kalau sistem pembekuan darah tiada masalah. Kalau tiada sistem itu, kita akan berdarah sampai kering. Nak? 

Ais takkan buatkan anda senggugut. Merapu lagi. Senggugut itu perkara biasa terjadi dalam haid. Kalau teruk sangat atau berpanjangan, berjumpalah dengan doktor. 

Ais takkan membuatkan vagina itu longgar. Itu auta tersebar bani jamu dan bani klimaks. Mereka sentiasa mahu menakutkan kita dengan ilmu sains songsang sebab hujungnya nak suruh kita membeli produk mereka yang kebiasaannya tidak berdaftar pun dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Buat senaman Kegel. Malas? Saya angkat bendera putih dengan orang malas. 

Ais takkan membuatkan kita cepat tua. Cepat tualah kalau makan tak ingat dunia, berat badan lebih atau obes, malas senam, emosi tak tenteram, hisap rokok macam cerobong asap. Bila dah terkena penyakit kronik dan masih tak nak berubah, kualiti hidup takkan sama dah. 

Ais takkan buatkan nanti sakit badan bila dah tua sebab tak pantang ais masa selepas bersalin. Tolonglah. Negara kita ini panas okay. Kasihan mak stress. Orang Melayu ini berialah mengikut segala petua semasa pantang. Elok habis berpantang, terus angkat kaki pergi mekdogol sebab nak buang gian. Itu dah kenapa? 

Kita ini perlu menjaga kesihatan sepanjang hayat. Pantang sakanlah sangat 44 hari kemudian buat-buat lupa selepas itu. Nampak macam pantang itu membuta tuli mengikut saja tanpa tahu hujung pangkal. 

Orang dulu buat petua ais ini sebab ais mahal sangat pada masa zaman mereka. Bukan semua orang mampu ada peti sejuk. Mereka pergi beli ais di kedai yang dipotong menggunakan gergaji dan pikul bawa balik ke rumah. Zaman sekarang dah tak relevan, kita kan dah belajar sains. Kenapalah masih ada yang berpegang pada mitos ais ini? Kasihan ais, ais tak salah. 

Tolong tepek pautan status saya ini di bani jamu, klimaks dan suku sakat mereka kalau mereka masih menbongak tentang ais. Rimas betul saya dengan cerita rekaan mereka. 

'Saya takkan minta netizen puji dan hargai lakonan saya' - Que Haidar


Beberapa hari yang lalu, pelakon utama filem Badang, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, meminta netizen menghargai bakatnya, bukannya melemparkan komen negatif dan penghinaan. 

Luahan Aliff Syukri itu kemudian menarik perhatian pengarah Shahrulezad dan pelakon Amyza Aznan yang berpendapat jutawan kosmetik itu tidak perlu melenting dengan komen-komen netizen, malah meminta 'Badang' berhenti dari merosakkan industri seni. 

Malangnya, kenyataan pelakon itu kemudian dijawab pula oleh pembantu Aliff Syukri yang dikenali sebagai Mel yang mendakwa Amyza Aznan pelakon sendu. 

Dalam perkembangan terbaru, pelakon Que Haidar mempunyai pandangannya sendiri mengenai perkara itu di mana beliau tidak akan meminta netizen untuk menghargai dan memuji lakonannya kerana beliau yang memilih berada di arena ini. 

"InsyaAllah saya takkan marah netizen untuk hargai bakat saya dan minta netizen puji lakonan saya, serta memperkatakan tele ini yang terbaik kerana saya yang memilih untuk berada di arena ini tanpa paksaan sesiapa, kerana cinta terhadap seni lakonan itu sendiri," tulisnya di Twitter. 

Kenyataan Que Haidar itu turut disokong oleh Adibah Noor yang juga mempersoalkan tindakan Aliff Syukri meminta netizen menghargai 'bakat'nya. 

"Tang usaha dia tu je lah.. meminta untuk dihargai.. tang usaha je, I hargai usaha meminta itu. Tang bakat? Haa? Whaaat? Where?? Like wuttt? Apa-apa pun dik, dia tetap kaya (hantuk kepala kat dinding)," tulis Adibah. 

"Tengok sape yang berbicara bro. Mana mungkin seni itu lupa penggeraknya. Kita kurang dalang seni, banyak pembanggang seni saja yang ada," tulis Sharnaaz Ahmad yang turut memberi respon pada Tweet Que Haidar. 

Friday, February 23, 2018

Jangan beli dan guna 3 produk kosmetik ini yang dikesan mengandungi racun berjadual


Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual, merkuri, hydroquinone dan tretinoin, yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk tersebut ialah GG Pinky Day Cream for Skin, Tati Therapy Cream 1 dan Tati Therapy Cream 2.





"Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual dalam produk berkenaan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Beliau berkata produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

"Kesan daripada penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit," katanya.

Dr Noor Hisham berkata produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan.

Namun begitu, beliau berkata penggunaan tanpa pengawasan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.


Bagi produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri, beliau berkata ia boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

"Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Selain itu, pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu," katanya.

Penggunaan  produk yang mengandungi merkuri, kata beliau,  boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

Beliau bekata penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan-kesalahan berikutnya, katanya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi di talian 03-78835400 atau emel ke kosmetik@npra.gov.my.  - Bernama 

Bertengkar dengan suami, isteri racun 3 anaknya sampai mati


Seorang wanita yang bekerja sebagai guru memaksa tiga orang anaknya minum racun serangga sehingga mati sebelum dia cuba membunuh diri dengan minum racun yang sama dan mengelar pergelangan tangan dan lehernya sendiri. 

Dalam kejadian yang berlaku pada Rabu 21 Februari lalu di Banjar Palak, Indonesia, Septyan Parmadani, 33, telah memaksa tiga anaknya berusia 2, 4 dan 6 tahun minum racun serangga yang disediakan dalam plastik. 

"Wanita itu dipercayai telah memaksa tiga anaknya membunuh diri dengan minum racun serangga. Ketiga adik beradik itu berada dalam keadaan tidak bernyawa ketika ditemui dan jenazah mereka kini sedang dibedah siasat di Rumah Sakit (hospital) Kasih ibu," kata sumber polis. 

Sementara itu, ibu mangsa masih hidup dan sedang diberikan rawatan perubatan berikutan keadaannya yang agak kritikal. 

Menurut dua orang saksi kejadian yang juga merupakan ahli keluarga pasangan berkenaan, kejadian itu berlaku pada awal Selasa lalu apabila Septyan dan anak-anaknya telah datang ke rumah adiknya untuk menumpang berteduh selama beberapa hari. Adiknya pada ketika itu tidak mengesyaki apa-apa kerana segalanya seperti biasa sahaja. 


Jam 2.30 petang kemudian, suaminya, Putu Mohdiana, datang ke rumah dan mengajak isteri dan tiga orang anaknya itu pulang ke rumah. Tetapi Septyan menolak pelawaan suaminya itu, lapor Merdeka.com.

Lebih kurang jam 11 malam pada hari yang sama, adik mangsa sempat bertemu dengan Putu Mohdiana di depan pintu bilik dan apabila ditanya mahu ke mana, katanya dia akan kembali. Ketika itu, kelihatan Septyan sedang menyusui anaknya. 

Pada pagi keesokan harinya, ketika adik mangsa mahu mengambil alatan mandian di bilik itu berasa curiga bila mana pintu yang diketuk berkali-kali tidak dibuka, malah tiada jawapan dari dalamnya. 

Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, adik mangsa kemudian berusaha membuka tingkap bilik dan alangkah terkejut apabila melihat Septyan dan anak-anaknya sudah terbujur kaku. Di tangan Septyan ketika itu dilihat sedang memegang sebilah pisau dengan kesan luka di pergelangan tangan kiri dan leher kanan dipercayai cuba membunuh diri selepas membunuh tiga anak-anaknya itu. 


Adik mangsa segera membuka pintu bilik dan memaklumkan tragedi itu kepada ahli keluarga. Empat anak beranak itu dikejarkan ke hospital. Tiga beradik berkenaan disahkan telah meninggal dunia, manakala ibu mereka masih sempat untuk diselamatkan. 


Keluarga mangsa kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. Berdasarkan laporan itu, polis telah menghantar pasukannya ke tempat kejadian untuk mengambil bahan-bahan bukti dan turut menemui bungkusan plastik yang mengandungi cecair racun penyembur serangga Baygon.
Polis sehingga kini masih menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan berlaku pertengkaran di antara suami isteri berkenaan.

'Semenjak ayah berpoligami, hidup keluarga kami berubah dan dia banyak mengeluh mengenai kewangan' - Cerita realiti poligami


Di mulut dan di depan hakim, dia berjanji akan berlaku adil kepada isteri pertama dan isteri kedua. Namun janji-janji itu entah ke mana apabila si lelaki mula terasa beban selepas mempunyai keluarga kedua. 

Ini adalah realiti hidup berpoligami. Bukan bertujuan menakutkan, tetapi sekadar berkongsi pengalaman dari seorang anak yang melihat bapanya berpoligami yang akhirnya berlaku tidak adil pada isteri pertama. Semoga anda yang mempunyai hasrat untuk berpoligami berfikir sebaik-baiknya agar keputusan yang diambil tidak membebankan orang lain. 

KETIKA aku berumur 16 tahun, aku mendapat tahu yang ayah ada perempuan simpanan dan masa itu juga mak dan ayah dalam usia lewat 40-an. Sepatutnya pada waktu itu mereka sudah berfikir apa yang mereka nak buat selepas berpencen. Tetapi tidak pada ayah aku. 

Ayah terlalu cintakan kekasihnya sampai nak dijadikan sebagai isterinya yang kedua. Tetapi tanpa dia sedari, dia telah membuat keputusan yang akan membebankan dirinya dan keluarga. Ini adalah cerita realiti poligami pada usia tak berapa muda. 

Ayah dan ibu seringkali turun naik mahkamah. Ayah mahu berpoligami tetapi ibu membantah. Dan akhirnya ayah menang kes ini di mana dia berjanji di depan hakim yang dia mampu dan akan berlaku adil. 

Semenjak dari itu, hidup kami berubah. Ayah ada jadual untuk tidur di rumah yang mana dan kami mula nampak janji-janji dia untuk berlaku adil memang langsung tidak ditepati. Dia banyak membelanjakan duitnya ke arah isteri nombor dua.

Isteri kedua kemudian melahirkan tiga orang anak. Dengan isteri pertama iaitu ibu kami pun ada tiga orang anak. Jangan ditanya perbezaan umur. Memang 20 tahun beza umur kami dengan adik-adik kecil itu. 

Isteri kedua tidak bekerja dan menjadi surirumah sepenuh masa menjaga tiga orang anaknya itu. Ayah pula memang 100% tanggung keluarga yang kedua. 

Mereka selalu keluar berdua dan bila mereka keluar berdating, anak-anak mereka ditinggalkan dengan ibu, minta isteri pertama menjaga mereka. Tetapi dengan ibu, ayah jarang sekali nak bawa pergi berdating. Malam valentine, ayah siap bawa isteri kedua dinner dan tinggalkan anak-anaknya di rumah isteri pertama. Di mana janji-janji dia kononnya akan berlaku adil?


Ayah selalu mengeluh tentang kewangan, maklumlah isteri kedua boleh tahan tinggi maintenancenya. Sewa rumah, bil dan sekolah anak-anak keluarga kedua semakin membebankan ayah. Seringkali ayah mengeluh dengan anak-anak dia yang sudah dewasa ini iaitu kami, untuk membantu dia dengan rumah keluarga pertama ini. 

Dengan erti kata lain, ayah mahu melepaskan tanggungjawab dia pada keluarga pertama supaya dia boleh menjaga keluarga kedua. Dia semakin penat memikirkan duit dan semakin banyak mengeluh. 

Umur untuk pencen pula semakin dekat, dan itu yang membuatkan ayah semakin runsing. Anak-anak hasil dari perkahwinan pertama semakin dewasa. Mereka sudah mula berkahwin dan mempunyai anak mereka sendiri. 

Ayah telah memilih jalan hidup yang bakal buat semua orang susah. Bukan saja dia telah membebankan dirinya, dia juga telah membebankan anak-anak pertamanya untuk memikirkan hal adik-adik kecil yang baru mula bersekolah sedangkan mereka sendiri baru nak memulakan keluarga. 

Bukan itu sahaja, ayah akan menyusahkan anak-anak kecilnya juga. Ayah mungkin dah tak ada semasa mereka masuk sekolah menengah atau semasa mereka masuk universiti. Siapa yang mahu membiayai semua itu? 

Anak-anak yang pertama ini akan ada keluarga sendiri dan sudah kena berfikir untuk anak mereka sendiri. Bagaimana dengan hidup anak-anak kecil dari keluarga kedua itu? Mereka akan rasa susah di kemudian hari kerana bapanya sudah tiada untuk menyara mereka. Yang boleh membantu mereka hanyalah adik beradik tuanya dari keluarga pertama. 

Tetapi persoalannya ialah, mampukah mereka menyara adik-adik kecil sekali dengan keluarga mereka? 

Masa akan berlalu, penyesalan mungkin akan berlaku. Tetapi pada masa itu semuanya dah tak boleh diubah. Kita dah tak boleh kembali ke masa lalu. Semua orang terpaksa juga mengharunginya, terpaksa hidup dengan apa yang telah terjadi. 

Wahai lelaki yang teringin nak berkahwin lagi, fikirlah jauh terutamanya usia dah menjangkau 40 tahun. Waktu itu patutnya korang dah fikir nak berehat di umur 50 tahun. Bukannya menambahkan lagi tanggungjawab dan beban. 

Sekejap saja syok bercinta itu, bila anak hasil dari perkahwinan kedua itu sudah bersekolah, baru korang akan rasa susah dan bebannya hidup. Malah korang juga akan tempiaskan kesusahan korang itu pada ramai lagi orang. 

(Video) 'Berapa helmetnya? 1 juta? Nah ambik!!' - Ditahan tak pakai helmet, makcik bawang gigit tangan polis


Berang ditahan kerana tidak memakai helmet ketika menunggang motosikal, seorang wanita hilang pertimbangan lalu memarahi anggota polis yang bertugas. 

Kejadian yang berlaku di Ipilo, Utara Sulawesi baru-baru ini turut dirakam orang awam sebelum dimuat naik ke media sosial mencetuskan pelbagai reaksi netizen. 

Menurut Ferdinansyah, anggota polis berkenaan telah menahan wanita terbabit atas kesalahan menunggang motosikal tanpa memakai helmet. 

Bagaimanapun, wanita itu berang dan dengan bongkaknya mengatakan dia mempunyai banyak wang untuk membeli helmet. Malah mengeluarkan wang dari beg tangannya sebelum menghentak-hentak duit itu di dada anggota berkenaan. 

Dalam video kedua pula, wanita terbabit menolak motosikalnya melanggar anggota berkenaan sebelum menggigit tangan kanannya sehingga meninggalkan bekas gigitan. 




Di media sosial, netizen memuji ketabahan dan kesabaran anggota terbabit melayani karenah wanita berusia lingkungan 40-an itu.

"Kenapa perlu sampai begitu sekali? Sebagai seorang ibu harus memberikan contoh sikap yang baik kepada anak-anak dan masyarakat kerana dia adalah seorang ibu.

"Polis tidak akan tahan jika tiada kesalahan. Cubalah pakai helmet, pastinya perkara ini tidak berlaku. Kalau berlaku kemalangan dan mengalami kecederaan akibat tidak memakai helmet, polis juga disalahkan? Patuhilah undang-undang," kata Marreto Putri. 

'Kenapa tak tinggalkan je di rumah kalau dah tahu anak (autism) tak betul?' - Terkilan si ibu dibahasakan seperti itu dikhalayak ramai


Adakalanya kita melihat anak-anak orang lain hiperaktif di tempat awam sehingga menimbulkan reaksi kurang senang dan selesa. Tetapi apakah kita tahu di sebalik kelakuan kanak-kanak itu sebenarnya ada masalah tersendiri? 

Oleh itu, jangan cepat menjatuhkan hukum dan sebaik-baiknya cuba membantu seperti yang dilakukan oleh Puan Ariana ini berbanding memberikan persepsi negatif berterusan yang akhirnya membawa kepada kebencian. 

HARI ini saya nak kongsikan sesuatu. Selepas dua minggu dan beberapa hari ini berulang alik ke hospital, dalam tempoh itu saya melihat situasi anak syurga yang dibawa ibu bapa ke hospital dan bagaimana melihat penerimaan masyarakat. 

Anak dalam usia tiga tahun setengah mengikut ibu A pergi mendapatkan rawatan. Sangat hiperaktif sampai beg orang yang duduk ditarik. Si ibu A sedaya upaya cuba mententeramkannya. Orang dewasa di kanan dan kiri mula menunjukkan reaksi tidak puas hati. 

Si ibu A sudah mula rasa malu, ditambah pula dengan keadaan dirinya yang tidak sihat, nampak stress sangat mukanya. Si anak berjalan ke arah sepasang suami isteri dan seorang anak kecil, lalu ambil mainan. Menangislah budak itu. Si ibu B yang anak menangis menjengil mata sebagai tanda marah. Si ibu A memujuk anaknya memulangkan mainan sambil mulut tidak berhenti meminta maaf. 

"Maaf, anak saya austime" kata si ibu A dengan suara terketar-ketar. 

Dalam hati saya kata, betullah sangkaan saya mesti anak ibu A ini istimewa. Dia pandang saya dan saya senyum. Dia tarik anaknya duduk. 

"Kenapa tak tinggalkan saja di rumah kalau dah tahu anak tak betul?" tiba-tiba ibu B bersuara. 

Perghh!! Menyirap dengar tetapi sabarlah. Takkan saya pula nak tegurkan? Ibu A tunduk sambil memeluk anaknya. Sudah nama anak autisme, manalah boleh diamnya. Masih dengar ibu B mengomel. 

Saya bangun dan pergi ke kaunter dan bertanya apakah lama lagi giliran ibu A? Saya jelaskan betul-betul keadaan ibu A. Jururawat di kaunter mengangguk dan kata akan cuba meminta doktor mempercepatkan gilirannya. Saya duduk semula, ramai yang pandang saya. Ibu A senyum sayu pada saya. Hati dia, Allah saja yang tahu. Memang sedih. 

Tak sampai pun tiga minit, anak ibu A mula menunjukkan akan tantrum. Sedaya upaya ibu A memeluk anaknya, pujuk. Orang di sekeliling mula pandang macam bajet bagus. Kau orang punya pandangan itu saya sangat boleh agak. 

Bila keadaan semain tegang, saya teringat di beg tangan saya ada banyak keychain. Saya sengaja bunyikan keychain dan pada mulanya anak ibu ibu tidak pandang. Saya kuatkan sikit bunyi keychain dan dia mula pandang tetapi saya buat tak tahu saja. Perlahan-lahan dia datang dekat dan tengok keychain besi saya. 

Saya panggil dan letak beg sebelah. Berulang-ulang dia pegang dan dia akan goyangkan tangannya bila dengar bunyi keychain, bermaksud dia suka. Bila dia dah mula seronok, saya ambil keychain ketuk-ketuk dan nyanyi lagi Johny perlahan-lahan. Dia ketawa sambil goyangkan badan. Aduhai, teringat anak-anak syurga saya. Dia tarik beg saya dan tengok apa di dalam beg. Saya keluarkan barang-barang yang ada seperti pen, buku dan telefon bimbit, ada make-up. Hahaha!

Tetapi dia terarik dengan tasbih pink yang saya beli dengan mama Roslinah Md Sarip. Dibelek-belek dan diletak atas lantai, dimasukkan dalam mulut. Dia pandang muka saya sambil ketawa tunjuk tasbih. Saya pun dengan konfiden baca subhanaAllah perlahan-lahan. Ibu A perhati saja dengan senyuman. Tiba-tiba anak itu terlena sambil tangan masih pegang tasbih. 

Tidak alam kemudian, jururawat panggil ibu A, saya bagi isyarat suruh ibu A masuk dan saya tolong tengokkan anaknya. Tidak lama kemudian ibu A keluar. Dia ambil anaknya selepas berbual seketika dan tak berhenti-henti mengucap terima kasih. Apa yang membuatkan hati saya sebak bila ibu A kata,

"Dia tak pernah tidur siang kak walaupun seminit. Malam jam 2 pagi baru tidur. Saya penat sangat kak, ini saya pregnant rasa macam nak gugurkan. Saya tak larat kak."

Terkedu saya mendengar kata-katanya itu. Boleh bayangkan tak betapa stressnya ibu A? Ibu B dan yang lain-lain mula beri perhatian. Saya cakap perlahan-lahan dan suruh dia bersabar. Saya tawarkan dia hantar anak ke tempat saya dan tengok apa yang boleh dibantu. 

Tiba-tiba dia memeluk saya, menangis.

"Saya tidak pernah jumpa orang baik macam akak boleh menerima anak saya. Semua orang benci anak saya. Orang kata anak saya jahat," katanya. 

Sayu, saya tepuk-tepuk badan dia perlahan-lahan. Ibu B mengesat air mata. 

Apa yang saya nak katakan ialah, berhentilah memberi persepsi negatif kepada anak-anak syurga. Mereka bukan jahat, mereka sangat istimewa. Mereka perlu layanan sama rata dari masyarakat sekeliling. Mereka juga ada hak sama seperti anak-anak yang lain. Berilah sokongan kepada mereka dan keluarga mereka. 

Mereka semua tidak meminta untuk dijadikan seperti itu. Kita perlulah bersama-sama menyokong mereka, bukannya menghina mereka. Kita tidak tahu betapa deritanya hati mereka melalui semua ini. 

Untuk ibu bapa di luar sana yang mengalami situasi seperti ibu A, teruslah bertabah dan jangan pendam seorang diri. Allah ada dan saya ada serta bersedia mendengar. Boleh call saya, WhatsApp saya. InshaAllah selagi saya sihat, kita akan bantu anak-anak syurga yang semampu kita ya. 

'Kuat minum milo dan malas gosok gigi, doktor terpaksa cabut semua gigi'


Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam soal menjadi kebersihan dan kesihatan gigi anak-anak. Didik anak-anak akan kepentingan dua perkara itu agar ia tidak memudaratkan diri di masa akan datang. 

Gigi kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ini terpaksa dicabut semua akibat kerosakan yang teruk dan telah membuatkan gusinya bengkak. Menurut bapanya, gigi anaknya rosak akibat kuat minum milo dan malas menggosok gigi. Bagaimanapun, semua kesakitan itu berakhir apabila kesemua gigi kanak-kanak berkenaan dicabut. Semoga cepat tumbuh gigi dik! 

ALHAMDULILLAH, Hannan dah selamat buang semua gigi. Sekarang dia dalam keadaan separuh sedar. Doktor terkejut juga, biasa orang lain tidur 3 ke 4 jam. Terima kasih semua sahabat, berkat doa semua. 

Untuk pengetahuan semua, gigi Hannan rosak bukan disebabkan kuat makan coklat. Tetapi anak saya ini kurang kalsium selepas susu ibu, dia tidak lagi minum susu dan kuat minum milo serta malas menggosok gigi. Kalau puncanya adalah coklat, dua orang lagi abang dan kakak dia juga akan menerima nasib yang sama. 

Kepada semua yang menghubungi saya (PM), maaf saya tidak sempat nak menjawab semua mesej anda. Tetapi saya jawab bila ada kelapangan. Di bawah saya sertakan kronologi anak saya. 

KRONOLOGI PEMBEDAHAN GIGI HANNAN

Keadaan gigi yang rosak. Rosak teruk sebenarnya. Kalau gigi geraham dalam itu semua dah macam kawah gunung berapi, berlubang.
Kerosakan gigi Hannan bukan berpunca dari kuat makan gula-gula. Punca utama Hannan selepas dua tahun susu ibu, Hannan tidak lagi minum susu. Sebaliknya dia lebih suka minum milo dan lambat lepa. Air kopi ayahnya pun dia minum. Kekurangan kalsium gigi bercampur malas menggosok gigi adalah punca utama kerosakkan gigi Hannan. 

Apabila masuk umur empat tahun, Hannan pernah buat pemeriksaan gigi di klinik swasta. Doktor hanya beri ubat tahan sakit. 

Di pertengahan umur lima tahun, boleh dikatakan setiap minggu Hanna mengalami sakit gigi sampai tak boleh tidur. Sekali lagi bawa Hanna buat pemeriksaan gigi di klinik swasta dan kali ini kerosakkan lebih besar. Gigi geraham dia telah rosak dan berlubang, menyebabkan gusi bengkak. Pada masa yang sama, gigi depan juga sudah rosak menyebabkan nafasnya berbau. 

Kami meminta doktor buang, tetapi dinasihatkan agar membiarkan gigi susu itu tercabut sendiri dan doktor hanya beri ubat tahan sakit yang mampu bertahan seminggu. 

November 2017, sekali lagi kami pergi ke klinik untuk buat pemeriksaan. Masa ini gusi Hannan dah bengkak dan dia sendiri berasa tidak selesa dengannya. Dengan selalu meludah, mungkin sebab gusinya bengkak. Doktor menasihatkan kami pergi ke klinik kerajaan kerana umur Hannan baru lima tahun dan ada risiko untuk buat di klinik swasta (risiko belanja besar, semoga kita rakyat yang membayar cukai mencari hospital kerajaan). 

Permulaan kami pergi ke Klinik Gigi 1Malaysia untuk buat pemeriksaan (doktor baru). Doktor cadangkan bertahan dengan ubat tahan sakit dulu. Untuk cuba merawat gusi dan tahan sakit gigi. Keadaan masih tidak berubah, hanya mampu bertahan satu minggu sahaja. 

Selepas sebulan, kami pergi lagi buat pemeriksaan dan kali ini doktor Klinik 1Malaysia cadangkan tunggu sehingga umur 6 tahun untuk temujanji cabut gigi. 

Umur Hannan masuk 6 tahun, kami kena datang sekali lagi ke Klinik 1Malaysia untuk buat pemeriksaan dan temujanji. Alhamdulillah walaupun doktor lain, tetapi rekod Hannan sudah ada, hanya sambung kes dan buat temujanji dengan pakar untuk rujuk ke Hospital Besar Kuala Terengganu. 

Pertengahan Januari, kami dapat tarikh untuk temujanji di hospital besar. Datang untuk pemeriksaan sekali lagi oleh pakar. Pada mulanya dicadangkan untuk mencabut gigi yang rosak sahaja (cuma tinggal tiga batang sahaja gigi depan yang elok). Sekali lagi diberitahu untuk temujanji mencabut gigi Hannan perlu menunggu 3 hingga 6 bulan. Lamanya, tetapi sebenarnya itu adalah perkara biasa kerajaan sebab kena selesaikan kes terawal. Pihak hospital akan call bila tarikh yang ada. 

Selepas dua minggu buat pemeriksaan pakar, Alhamdulillah dapat panggilan dari hospital dan tarikh diberi 21 Februari untuk datang ke hospital buat pemeriksaan bius dan 22 Februari, Hannan dapat tarikh pembedahan. Alhamdulillah. Beritahu Hannan yang esok nak cabut gigi, suka dia dengar. 

Sebelum masuk bilik bedah, masa ini Hannan puasa dari jam 12 malam. Air masak pun tidak dibenarkan minum sehingga selesai pembedahan.
Perjalanan ke bilik bedah
10.45 pagi 22 Februari 2018, Hannan dibawa ke bilik bedah.

11.15 pagi, Hannan diminta doktor untuk meniup belon (bulan belon sebenarnya, bius yang diletakkan di mulut). Dalam lima minit kemudian, Hannan mula tidur dan saya diminta mencium anak sebelum diminta menunggu di luar. 

Bius sebelum ditidurkan
Alhamdulillah selesai pembedahan yang mengambil masa 1 jam 15 minit. Doktor buat semua gigi susu kerana telah rosak dan menyebabkan gusi bengkak.

Semua gigi yang telah dicabut.
12.30 tengah hari, saya dipanggil dan diberitahu pembedahan sudah selesai. Hannan dikeluarkan dari bilik pembedahan. Semasa berbincang dengan doktor tentang keadaan semasa Hannan, tiba-tiba dia buka mata dan mendengar apa yang kami bincangkan.

Eh?! Terkejut! Sepatutnya dia masih tidur. Memandangkan dia tersedar, saya tanya dia, "Sakit tak Hannan?", dia hanya sekadar menggelengkan kepala sebagai tanda tidak sakit. Penjelasan doktor mencabut semua giginya kerana gigi rosak teruk, gigi depan dah nak keluar gigi kekal serta sudah bergoyang. 

1.00 petang, Hannan dipindahkan ke wad untuk rehat. Masa ini dia tak tidur, cuma asyik salin kapas mulut untuk buang darah. 

30 minit selepas keluar dari bilik bedah. Jururawat bagi air milo ais dan ais sejuk.
1.30 petang, jururawat datang hantarkan milo ais dan ais kosong. Lupa nak beritahu, Hannan kena berpuasa dari jam 12 malam hingga selesai pembedahan. Air masak juga dilarang minum pada masa itu. Jadi dari jam 9.30 malam sebelum hingga jam 1.30 petang, Hannan tidak minum dan makan. 

1.30 - 4.00 petang, masih menunggu pengesahan doktor untuk pulang.

4.30 petang, Alhamdulillah dibenarkan pulang dan Hannan berada dalam keadaan sihat seperti biasa. Perjalanan pulang, permintaan pertama Hannan ialah aiskrim dan saya ajak dia makan roti untuk alas perut. Habis sebiji telur separuh masak dan roti sekeping. Berselera dia macam tak sakit. 

4 jam selepas pembedahan dibenarkan keluar. Permintaan pertamanya ialah aiskrim.

Disebabkan Hannan puasa dari jam 12 malam, sekarang jam 5.30 petang baru jumpa makanan. Bagi makanan lembut, roti goyang. Alhamdulillah habis sekeping roti.

Keesokan harinya, cikgu datang melawat. Siap kira duit dia dapat.
Alhamdulillah selesai masalah gigi Hannan. 

Berkenaan bayaran, untuk klinik swasta, rawatan antara RM40-RM55. Di Klinik 1Malaysia, RM1.00 bagi setiap kali rawatan. Di Hospital Besar PAkar, RM18.00 (jika kakitangan kerajaan adalah percuma atau mungkin RM1.00). 

Diharapkan penulisan saya ini mudah difahami sebab sambil menulis ini, sambil menjawab mesej pertanyaan dari orang ramai. 

Thursday, February 22, 2018

'Maaf bang, saya tak nak menyusahkan sesiapa' - 2 bulan keluarga ini tinggal di tepi lebuhraya kerana kesempitan


Biarpun susah, keluarga ini enggan menyusahkan sesiapa. Mereka sanggup tinggal di dalam kereta di tepi lebuhraya sejak beberapa bulan lalu sehingga kehadirannya yang mahu meminjam jumper menimbulkan tanda tanda sekumpulan lelaki yang kemudian terkejut melihat keadaan keluarganya. 

Ramai yang sebak membaca perkongsian mengenai kesempitan hidup keluarga ini. Sudahlah si isteri dibuang kerja sejak majikan mengetahui dirinya mengandung, keadaan kewangan yang tidak mengizinkan menyebabkan dia dan suami terpaksa menyerahkan anak kecil mereka berusia dua bulan dijaga orang. 

Mujur mereka dipertemukan dengan rakan-rakan Zack Rstar yang kemudian menempatkan keluarga ini di sebuah hotel bajet. 

SAYA dapat laporan berkenaan tentang kisah satu keluarga yang tidur dan merempat di tepi jalan iaitu di Rehat dan Rawat (RNR) Sungai Buloh. 

Malam tadi sekumpulan sahabat saya telah berhenti di RNR untuk mengisi minyak. Mereka ditegur oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Faizal, bertanya untuk meminjam jumper. Apabila sahabat-sahabat saya pergi ke kereta Faizal, mereka terkejut bila melihat keadaan dalam kereta beliau yang ada ubat nyamuk yang sedang dipasang. Baju-baju berselerak dengan anak-anak kecil yang sedang tidur.

Bila ditanya apa yang mereka buat di sini, jawab Faizal mereka hanya sekadar berehat-rehat sahaja. Sahabat saya tidak berpuas hati dengan jawapannya lalu mendesak Faizal untuk memberitahu perkara yang sebenar. Faizal mengaku sudah dua bulan beliau tiada rumah dan tinggal di tepi lebuhraya. 

Sahabat-sahabat saya tidak sanggup melihat mereka dalam keadaan seperti itu, terus membawa mereka pergi ke Kota Damansara dan menempatkan keluarga itu di sebuah hotel murah. Beliau memaklumkan kepada saya untuk datang dan lihat sendiri keadaan mereka.

Apabila saya sampai di hotel, Faizal menyambut saya sambil berkata, 

"Maaf bang, saya tak nak menyusahkan sesiapa. Kawan abang yang membawa kami ke sini," mungkin dia agak takut dengan saya, terus saya jelaskan niat sebenar kehadiran saya di situ dan dia pun duduk dengan saya, bercerita dari awal hingga akhir. 


Faizal dilahirkan di Selangor dan sepatutnya mendapat kad pengenalan, tetapi kerana beliau lahir di rumah, manakala bidan yang menyambutnya pula meninggal dunia, menyebabkan beliau tercicir kad pengenalan. Tambahan pula ibunya warga Indonesia, ayahnya pula adalah rakyat Malaysia. 

Faizal yang hidup kemiskinan semenjak dari kecil terpaksa berhenti sekolah tahun lima. Sejak dari itu, beliau menyara diri dengan membuat kerja-kerja buruh sejak bertahun-tahun lamanya. Beliau berkahwin dan baru-baru ini memperoleh cahaya mata yang kini berusia dua bulan. Isterinya diberhentikan kerja sejak majikan mendapat tahu dia mengandung. 



Anaknya yang berusia dua bulan itu terpaksa diserahkan kepada orang lain kerana kesempitan. Selepas diberhentikan kerja, isterinya berniaga nasi lemak di Bukit Beruntung. Pendapatan yang tidak menentu menyebabkan mereka gagal melunas baki sewa sebanyak RM100 dan mereka terus diusir keluar dari rumah. Maka tinggallah mereka di dalam kereta dan berpantang. 

Setiap hari Faizal akan pergi bekerja sebagai pencuci kereta dan meninggalkan anak-anak dan isterinya di RNR. Anaknya yang berusia 8 tahun, yang sepatutnya bersekolah sudah tidak bersekolah sejak sekolah dibuka kerana tidak berkemampuan. 





Faizal memperoleh pendapatan sebanyak RM50 sehari sebagai tukang cuci kereta di Sg Penchala. Beliau akan pergi kerja pagi dan balik lewat petang. Bukan balik ke rumah tetapi balik ke RNR. Bayangkanlah isterinya berpantang di RNR, yang hanya duduk di tempat rehat bersama anaka-anak kecil. 

Saya bertanya satu soalan yang membuatkan saya sendiri sebak apabila mendengar jawapannya. 

"Anak-anak minum susu apa?" 

"Anak-anak saya bagi sirap je bang. Kadang-kadang air paip," jawab Liza. 

Hello, korang bukan pendatang, korang rakyat Malaysia. Saya ulang, Rakyat Malaysia! Korang adalah saudara Islamku, kenapa kau tak minta bantuan sesiapa? Jawapannya singkat. 

"Kami tak nak menyusahkan sesiapa bang. Ini pun kami rasa malu. Saya sayangkan suami saya dan anak-anak. Kami rela susah, kami yakin dengan ujian ini. Allah nak uji iman kami," katanya. 



Saya tak boleh tahan melihat mereka. Saya minta maaf, saya undur diri dan hendak muhasabah diri. Dunia ini kejam Ya Allah. 

Kepada sesiapa yang sudi membantu, boleh menghubungi Faizal 011-23783902 atau Liza 017-2796023. Akaun Ambank 8881015216094. Liza akan maklumkan sekiranya keperluan sudah cukup. Itu pun selepas saya paksa dan minta semua maklumat-maklumat ini.

Untuk makluman, mereka ada anak empat orang:
  1. Mohd Adam Dansih 8 tahun
  2. Mardiah Azzaharah 5 tahun
  3. Mohd Amar Syukur 2 tahun
  4. Belum ada nama bayi 2 bulan dijaga orang
Saya merayu kepada mana-mana individu yang prihatin, marilah kita membantu keluarga ini. Siapa lagi yang mahu membantu mereka selain kita? Tolong bantu hambaMu ini Ya Allah. Murahkan rezeki kepada mereka yang membantu. 

Sumber: Zack Rstar